Itu reaksi ringkas bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Dr. Mohamad Khir yang pernah dipenjara 12 bulan kerana disabitkan kesalahan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan unit banglo di Shah Alam pada 29 September 2015 bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan mahkamah serta reaksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang amat terkejut terhadap keputusan tersebut.

Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta di kediaman tersebut pada 28 Julai 2015.

Li Koon yang merupakan bekas pemilik banglo itu pula, didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan lot tanah dan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan pada tarikh yang sama.

"Mungkin dia betullah. Saya tak nak komen apa-apa pasal mahkamah nanti susah," kata Khir Toyo ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dr. Mohamad Khir dibebaskan daripada penjara pada 29 Mac 2016 apabila diberikan parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni yang diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Dr. Mohamad Khir yang menjadi Menteri Besar mulai Ogos 2000 hingga Februari 2008, disabitkan melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan dua lot tanah dan banglo itu dilucutkan hak.-UTUSAN ONLINE