AZMAN MOKHTAR
AZMAN MOKHTAR

Hasanah Bersama Rakyat adalah lanjutan daripada program Hari Hasanah di mana Khazanah Nasional berganding bahu de­ngan Yayasan Hasanah, Yayasan Khazanah, Khazanah Research Institute, Think City serta rakan kongsi masing-masing dalam menyumbang masa dan tenaga memberi nilai untuk dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pengarah Urusan Khazanah Na­sional, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, program Hasanah Bersama Rakyat bertujuan untuk bersama-sama rakyat dengan me­ngetengahkan pelbagai inisiatif dan faedah yang diraih.

Beliau berkata, menerusi program itu, pelbagai perkhidmatan diberikan kepada komuniti, termasuk pekerjaan, aktiviti interaktif bersifat pendidikan serta ke­senian dan hasil kraf.

“Apabila kita dapat memba­ngunkan sesuatu kawasan dan meningkatkan nilai, hasilnya itu kita kena agihkan. Itu yang dise­butkan sebagai Hasanah yang memberi erti ‘kebaikan’.

“Dari situ wujudnya Yayasan Hasanah, Hari Hasanah dan Hasanah Bersama Rakyat yang merupakan antara aktiviti yang dilaksanakan. Jadi secara keseluruhan, ini adalah program yang akan kita teruskan pada masa depan,” katanya pada program Hasanah Bersama Rakyat di Pu­teri Harbour, di sini kelmarin.

Azman berkata, Hasanah Bersama Rakyat melibatkan lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat di bawah Khazanah. Ia juga akan diadakan di Kuching, Sarawak pada awal tahun depan dengan memberi tumpuan dalam me­laksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Pada September lalu, buat julung kalinya Hari Hasanah telah diadakan dengan lebih 50 inisiatif diadakan di seluruh negara termasuk dua acara utama di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak dan di tapak Projek Taman Tugu di Kuala Lumpur.

Pihaknya berhasrat untuk menganjurkan Hari Hasanah se­tiap tahun antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kami berharap Hari Hasanah akan menjadi suatu pergerakan yang dapat menyatukan rakyat untuk bersama-sama bergan­ding bahu melakukan amal kebajikan bagi memberi manfaat kepada orang lain dan seterusnya membantu menggalakkan semangat kekitaan serta menyuburkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya dan etnik di negara ini.

“Kami percaya, tidak kira kecil atau besar sesuatu amal kebaji­kan itu, sekiranya dilakukan se­tulus hati, hasilnya akan memberi kesan yang besar,” katanya.