Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sendiri akan mendapatkan pandangan daripada pengurusan Khazanah berhubung perkara tersebut.

"Pastinya pengurusan Khazanah perlu melihat perkara ini dengan segera. Ini adalah untuk memastikan keselamatan syarikat penerbangan, yang mana sangat penting," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Pesawat jenis 737 MAX merupakan antara pesawat terkini keluaran Boeing yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Dilaporkan, Malaysia Airlines dan Boeing mengadakan memorandum persefahaman untuk membeli beberapa pesawat keluaran syarikat AS itu termasuklah 737 MAX dua tahun lalu.

Dalam tragedi semalam, pesawat itu yang digunakan Ethiopian Airlines dilaporkan terhempas ketika dalam perjalanan dari Addis Ababa, Ethiopia ke Nairobi, Kenya sekali gus mengorbankan 149 penumpang dan lapan krew kabin.

Pesawat jenis yang sama digunakan syarikat penerbangan tambang murah Indonesia, Lion Air juga terhempas pada Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan krew kabin. - UTUSAN ONLINE