Mana tidaknya, ketika zaman mudanya, Hussain Hamad, 63, bukan sahaja tidak dapat membaca kitab suci itu malah buta huruf apabila gagal mengenali huruf-huruf hijaiyah atau Alif Ba Ta.

Hussain berkata, dia hanya mula belajar membaca al-Quran ketika berumur 56 tahun dan berjaya khatam kitab suci itu dalam tempoh 11 tahun.

“Ia bukan satu tugas mudah, ditambah pula dengan usia sudah lanjut amat sukar untuk membaca kitab suci ini. Namun itu bukan penghalang buat saya untuk khatam.

“Kejayaan khatam al-Quran ini ibarat saya dapat segunung emas yang amat bernilai untuk bekalan di akhirat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu Hussain bersama 12 lagi rakannya diraikan dalam majlis khatam al-Quran di Kampung Baru Pak Hussin, di sini.

Hussain memberitahu, kejayaan itu melonjakkan lagi semangat untuk membudayakan bacaan al-Quran dalam kehidupan.

Katanya, dia berterima kasih kepada tenaga pengajar Abdul Ghani Daud yang sudi mencurahkan ilmu sekaligus membolehkannya membaca al-Quran dengan lancar. - UTUSAN ONLINE