Najib dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Prasarana adalah bagi menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos lalu.

“Khalid akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam.

“Saya bagi pihak kerajaan ingin merakam ucapan terima kasih kepada Ismail atas segala sumbangan beliau bagi menjayakan visi dan misi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya.

Khalid yang juga KPN ke-10 memulakan tugas sebagai inspektor pada 5 Disember 1976 dan bersara wajib semalam.

Perdana Menteri berkata, Khalid turut dilantik sebagai Duta Khas bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdangangan manusia.

“Ini memandangkan pengalaman luas serta hubungan baik Khalid dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai KPN dalam menangani masalah tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE