Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan tidak bertanggungjawab Hsien Loong yang mendakwa tuntutan Malaysia terhadap semakan keputusan ke atas Pulau Batu Puteh adalah kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seolah-olah memperkecilkan tuntunan Malaysia terhadap kedaulatan negara yang menjadi keutamaan sejak dulu.

“Saya mahu mengingatkan beliau, kedaulatan negara Malaysia adalah sesuatu yang serius dan bukan main-main malah tidak diukur dengan mana-mana pilihan raya. Tiada keperluan untuk kita melakukan tuntutan semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

“Tindakan beliau yang mengatakan seolah-olah kita terdesak untuk pilihan raya adalah sangat tidak bertanggungjawab, lebih buruk lagi seolah-olah menggambarkan kedaulatan kita bergantung kepada pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melawat lima kubah Ekspo Negaraku di sini hari ini.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh bermula sejak 37 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Puteh sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Tuntutan terhadap Batuan Tengah yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan yang berada 1.7 batu nautika dari Batuan Tengah, dibuat Singapura pada 1993.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan majoriti 12-4 memutuskan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1980 adalah milik Singapura.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.