SHAMSUL ANUAR NASARAH
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, intipati Bajet 2018 menyaksikan kerajaan sangat menepati sasaran dan harapan pihaknya bagi memastikan peminjam membuat bayaran balik de­ngan baik dan konsisten serta menggalakkan budaya menabung untuk tujuan pendidikan.

Menurut beliau, ‘grace period’ yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bermakna tempoh peminjam untuk membuat bayaran balik telah dianjakkan daripada enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian.

“Melalui pengumuman Bajet 2018 ini juga peminjam PTPTN diharap tidak melepaskan peluang dengan insentif diskaun sebanyak 10 dan 20 peratus yang diberikan kerana ini dapat meringankan beban hutang yang ditanggung mereka.

“Sekiranya terdapat masalah untuk membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan, peminjam disarankan untuk segera berunding dengan pihak PTPTN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff melihat pengumuman Bajet 2018 sebagai sangat inklusif dan menitikberatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk institusi pendidikan.

“Bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, geran sepadan sebanyak RM500 turut diumumkan kepada mereka yang mempu­nyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM500. Sebanyak RM250 juta disediakan kepada 500,000 anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang akan dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M).

“Oleh itu, ibu bapa perlu merebut segera manfaat yang telah disediakan ini. Perca­yalah bahawa kecemerlangan pendidikan masa depan anak-anak kita semua adalah terletak di tangan kita sendiri,” katanya.