Agak 'malang' bagi sesiapa yang tidak mengambil kesempatan untuk melawat MAHA 2016 yang akan berakhir esok sambil membawa anak-anak termasuk untuk mengunjungi Kampung Durian Runtuh Upin Ipin yang dibawa khas oleh syarikat animasi terkenal Les’ Copaque.

Ini kerana di situ mereka akan tenggelam dengan pelbagai aktiviti alam kanak-kanak yang membabitkan pertanian dan alam sekitar.

Ditambah lagi dengan kemun­culan watak-watak kesayangan mereka, maskot Upin dan Ipin yang pasti menceriakan mereka sepanjang berada berada di laman tersebut.

Semasa melawat laman ini, pengunjung kecil akan dibekalkan masuk dengan sebuah pasu kecil yang terdapat pelekat Upin Ipin dan diajak untuk menanam bawang, benih jagung dan kacang hijau menggunakan pasu tersebut.

Tetapi bayangkan seronoknya mereka bermain dengan timbunan tanah untuk dimasukkan ke dalam pasu-pasu tersebut.

Namun dengan bimbingan ibu bapa termasuk kemunculan watak Upin dan Ipin dalam bentuk hologram, kanak-kanak dibawa meneroka ke pelbagaian dunia pertanian yang mungkin selama ini asing buat mereka.

Adalah penting bagi mereka mengenali dengan dekat akan pokok-pokok padi, nanas, sayur-sayuran dan herba sehinggalah kepada segmen khas Rock Melon bagi memberi inspirasi kepada golongan ini untuk mencintai alam sekitar dan pertanian.

Disediakan sebuah pentas persembahan dalam khemah berhawa dingin, kanak-kanak akan dihiburkan pula dengan pelbagai acara yang mengajak penonton untuk beraksi bersama termasuk menyanyi dan menjawab soalan-soalan kuiz.

Di Kampung Durian Runtuh Upin-Upin kanak-kanak bukan sahaja boleh belajar tetapi berseronok. Selain itu pelbagai jualan barangan Upin dan Ipin seperti kemeja T, anak patung Upin Ipin, peralatan tulis dan banyak lagi dijual di laman ini untuk dibawa pulang.

Kampung ini terletak dalam Laman Florikultur yang bertemakan Flora World, laman yang sangat indah dan mengasyikkan.

Bukan sekadar taman bunga yang biasa, tetapi laman ini merupakan 'taman dalam taman' iaitu terdapat enam jenis taman lain di dalamnya iaitu Taman Plumeria, Taman Melayu, Taman Oriental, Taman Wangi-wangian, Taman Heliconia dan Taman Bunga Raya yang menarik untuk dilawati.

Istimewanya sempena MAHA 2016, Laman Florikultur turut dihiasi dengan pelbagai rekaan topiari yang menarik yang berkonsepkan flora dan fauna, replika bunga limpah yang dihiasi bunga-bungaan berwarna warni dan arca terpanjang yang dibina daripada bahan-bahan terpakai dan turut dihiasi bunga-bungaan dan tanaman herba bersesuaian dengan tema.

Bagi mengenal lebih dalam dunia lebah kelulut pula, pengunjung boleh melawat Taman Me­layu yang menampilkan haif-haif kelulut yang turut dihiasi pokok ulam dan ubat-ubatan.

Di laman ini pengunjung juga pula merakamkan foto untuk menjadi memori indah berlatarkan sebuah taman yang penuh dengan bunga dan hiasan-hiasan taman yang unik.