Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, rumah terbuka syarikat penerbitan akhbar itu pada tahun ini adalah istimewa kerana majlis tersebut buat pertama kalinya menggabungkan semua jabatan Kumpulan Utusan untuk bersama-sama menganjurkannya.

Katanya, jika sebelum ini, setiap jabatan mengadakan majlis rumah terbuka secara berasingan namun apabila diadakan secara bersama, hubungan antara warga kerja syarikat dapat dirapatkan selain daripada mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan mereka.

“Kita dapat lihat semua pekerja memberikan respon yang baik, sentiasa mengukir senyuman dan saya bersama Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dapat merasakan suasana hari raya dalam kalangan warga kerja.

“Keistimewaan majlis ini adalah kita lihat masing-masing bertungkus-lumus melakukan persediaan, apatah lagi kita turut mengadakan pertandingan antara gerai-gerai tercantik dan menyediakan juadah yang sedap. Setiap jabatan turut mengumpul duit dan syarikat turut memberikan sedikit penajaan, suasana ketika persediaan itu sendiri sudah cukup cantik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Utusan #inikanRAYAUTUSAN2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd Hassan Mohd. Noor; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman; Pengurus Besar di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan, Azlan Naim Abdullah; Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed Ali Ahmad; dan Pengarang Media Baharu, Aznan Bakar.

Mengulas lanjut, Mohd. Noordin berkata, pelbagai juadah menarik dan lazat disediakan khas buat kakitangan Kumpulan Utusan yang selama ini banyak menabur jasa kepada syarikat.

“Saya dapat tengok ada yang kuih-muih yang dibuat sendiri, buah-buahan seperti durian, apam balik, cendol, nasi dagang dari Terengganu dan banyak lagi. Semua ada. Kita tidak tahu mana satu hendak pergi dahulu kerana semuanya menarik dan sedap,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Noordin turut memaklumkan bahawa syarikat bercadang untuk mengadakan program ini secara tahunan bagi mengekalkan ukhwah dalam kakitangan Kumpulan Utusan.

“Insya-Allah kalau kita tengok dihargai oleh warga kerja Kumpulan Utusan dan cara ini dapat merapatkan lagi silaturrahim, dapat meningkatkan lagi rasa kasih sayang antara kita, rumah terbuka ini akan jalankan setiap tahun dalam konsep sebegini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE