Antara karakter yang muncul dalam Pameran Kegemilangan Tamadun Muslim yang menyimpan 1,001 rahsia itu ialah Al-Jazari, Ibnu al-Haytam, Fatima al-Fihri, Al-Zahrawi, Abbas ibnu Firnas dan Meriam al-Ijliya.

Itulah keunikan pameran yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Yayasan DMDI, Science Discoveries Sdn. Bhd. dan mendapat sokongan kerajaan negeri dijangka memberi manfaat kepada pengunjungya.

Pameran yang bermula 17 Februari lalu itu turut menarik perhatian pengunjung dari luar Melaka dan menerima sambutan daripada pelancong asing.

Pameran itu akan diadakan selama empat bulan dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang.

Orang ramai dipelawa datang beramai-ramai dan merasai sendiri pengalaman menyaksikan pame­ran bertaraf antarabangsa ini.

Ketua Pegawai Esekutif Science Discoveries Sdn. Bhd., Sabariah Md. Daud berkata, orang ramai sepatutnya tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran ini kerana ia amat bermanfaat kepada mereka yang ingin mendalami ilmu ketamadunan Islam.

“Pameran itu untuk menggalak­kan generasi muda mendalami bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan Tamadun Muslim ke­rana sebagai pelapis pemimpin pada masa hadapan mereka perlu mahir dalam bidang ini dan kepakaran itu amat diperlukan.

“Kerajaan juga ketika ini amat memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan dan pameran ini perlu dimanfaatkan kerana ia hanya diadakan di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia pada pameran itu yang dibuka kepada media semalam.

Pameran itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM6 juta dan sebagai sebuah pameran bertaraf antarabangsa serta menggunakan modal yang agak tinggi, ia sudah pasti menyediakan kualiti pameran yang bermutu tinggi.

Selain itu, kata Sabariah, lokasi pameran itu yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya ini amat strategik untuk dikunjungi orang ramai.

“Apa yang menarik, pameran ini dibahagikan kepada lima zon dan setiap zon memiliki artifak yang dihasilkan sendiri oleh syarikat itu dengan menggunakan lesen yang telah diberikan selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka berkunjung ke pameran itu, sebelum melangkah masuk ke ruang pameran pengunjung akan dibawa melihat tayangan dokumentari pendek yang memperjelaskan tentang sejarah ketamadunan Muslim bagi lebih pemahaman mengenai pameran berkenaan.

Selepas tayangan 10 minit itu, pengunjung akan mula masuk ke ruang pameran yang menyediakan pelbagai jenis maklumat berkaitan ketamadunan Muslim dan rata-rata pameran itu dibuat dalam bentuk yang mampu menarik minat pengunjung.

Menurut Sabariah, Melaka merupakan lokasi ketiga syarikat itu mengadakan pameran selepas Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Sambutan untuk pameran 1,001 rahsia di kedua-dua negeri itu amat menggalakkan menyebabkan kami berusaha meneruskan pameran ini di Melaka.

“Ketika ini pihak kami masih dalam perancangan untuk mengadakan pameran itu di Kedah dan Pulau Pinang selepas ini bagi memperlihatkan kepada rakyat di utara tanah air tentang kegemilangan tamadun Muslim ini,” katanya.

Menurutnya, kadar bayaran tiket yang dikenakan adalah iaitu RM15 bagi pengunjung dewasa, RM4 untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dan RM8 bagi remaja berusia antara 7-17 tahun serta warga emas dan pelajar yang mempunyai kad institusi pendidikan.

Orang ramai juga berpeluang melihat antara lain replika jam gajah dan alat penerbangan dan menurut Sabariah, pameran ini amat sesuai dikunjungi mereka yang sudah berkeluarga.

Selain pameran, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan cenderamata untuk dijadikan kenang-kenangan antaranya baju T, topi, sarung pasport dan rantai kunci.