Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini tahap keselamatan berada dalam keadaan terbaik dan beliau berpuas hati dengan kawalan pihak berkuasa.

“Saya datang sini hanya untuk melakukan pemeriksaan dan berbincang tahap keselamatan bersama beberapa agensi yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kapal tersebut.

Beliau meluangkan masa selama 30 minit bagi melihat sendiri keadaan kapal itu termasuk di bahagian dalamannya.

Turut mengiringi beliau adalah Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mendedahkan keadaan dalam kapal tersebut kepada pihak media.

“Ya, saya ada masuk dalam kapal itu namun tidak elok untuk saya menerangkannya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE