MOHD. NORDIN MANSOR

Dato' Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor berkata, calon berkenaan ialah bekas wartawan, Mustakim Aminuddin, 70, dari Kemin Beringin dan pegawai kerajaan, Mohd. Safiee Omar, 45, dari Kemin Bemban.

Katanya, pertimbangan perlu diberikan kepada kedua-dua calon itu berikutan bantahan oleh Ibu Soko

terhadap pengisytiharan Baharuddin Zainal, 59, sebagai Undang luak baharu pada hari berkenaan yang menimbulkan pertikaian dalam kalangan mereka.

"Saya tidak mahu para waris Kemin Bemban menjadi rosak oleh tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai `kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.

"Sebagai ketua adat bagi Perut Kemin, sukar bagi saya menerima pengiktirafan kepada calon yang diisytiharkan pada 14 Mac itu," katanya di sini hari ini.

Pada 14 Mac lalu, Baharuddin yang juga seorang anggota polis telah diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu majlis di Kampung Bemban dekat Durian Tipus di sini.

Baharuddin yang berpangkat Sarjan Mejar dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, Pahang dipilih dalam kalangan 10 individu yang disenarai pendek oleh para Dato’ Lembaga Delapan luak tersebut.

Seramai 30 orang waris Perut Kemin telah memohon jawatan itu melalui Mohd. Nordin.

Pengisytiharan itu telah mendorong sembilan Ibu Soko dari waris Perut Bemban menandatangani surat membantah pemilihan Baharuddin kerana berpendapat terdapat calon lain yang lebih baik dan berwibawa yang boleh diangkat ke jawatan tersebut.

Mohd. Nordin berkata, dua nama yang diketengahkan oleh beliau itu adalah dalam kalangan 30 calon asal dan mereka ialah anak waris yang sah dan berkelayakan serta komited dalam mendepani krisis yang berlarutan sejak empat tahun lalu dengan pandangan dan nasihat.

"Tiada halangan jika pihak Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan ingin memberi nasihat dan pandangan demi kebaikan bersama dalam menyelesaikan krisis ini supaya tidak lagi berpanjangan," ujarnya.

Beliau yakin dengan lahirnya seorang tokoh Undang luak baharu yang berwibawa, kemelut itu dapat diselesaikan melalui kuasa ketua adat. - UTUSAN ONLINE