Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh tawar diri Naib Presiden Kafa
Muhammad Yusri Ismail

Muhammad Yusri berkata, jawatan itu akan memberi ruang yang lebih luas kepadanya untuk menyalurkan pengalaman dan tenaganya untuk membantu membangunkan semula kegemilangan bola sepak di negeri ini.

“Saya memang berhajat untuk bertanding bagi jawatan ini dan berganding bersama-sama mereka yang berpengalaman dalam Kafa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Jawatan Naib Presiden Kafa kini disandang oleh Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Nasir Hamzah dan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Muhammad Yusri yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau menawarkan diri bukan berhasrat untuk mencabar kewibawaan tokoh dan kepemimpinan sedia ada tetapi kerana ikhlas untuk memberi perkhidmatan berasaskan pengalaman sedia ada bersama kelab itu.

“Saya pernah menjadi pengurus pasukan Piala Presiden Kelantan bagi tahun 2011 dan 2013, paling manis pasukan kami muncul juara pada tahun itu.

“Kalah atau menang bukan persoalannya kerana adat bertanding. Pastinya berkhidmat untuk Kafa sudah menjadi sebati dalam diri saya,” katanya.- UTUSAN ONLINE