Beliau juga dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kedua pada Rabu.

TUN MAHATHIR
TUN MAHATHIR 

Dr. Mahathir dan pemimpin ASEAN yang lain juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga; Sidang Kemuncak Asia Timur serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu dengan Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan Rusia sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 yang diadakan di sini.

Enam belas pemimpin pakatan perdagangan negara-negara RCEP dijangka mengeluarkan kenyataan bersama mengenai rundingannya dan menyerahkan Laporan oleh Menteri-menteri RCEP kepara para pemimpin.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Ekonomi Eurasia dan ASEAN mengenai kerjasama ekonomi juga akan diadakan.

Dr. Mahathir kemudian dijangka menghadiri majlis makan malam gala yang dihoskan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Dr. Mahathir diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ignatius Darell Leiking serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan MITI.

Pemimpin ASEAN lain yang turut berada di republik ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak itu ialah Sultan Hasanal Bolkiah dari Brunei Darussalam, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith, Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc. - BERNAMA