Mohamad Fuzi Harun

Oleh itu, apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi amaran keras ter­masuk tindakan buang kerja akan dikenakan terhadap anggota polis termasuk Ketua Polis negeri jika didapati terlibat melindungi kegiatan jenayah di seluruh negara, sudah tentulah ia amat dialu-alukan.

Sememangnya ketegasan Mohamad Fuzi perlu dipuji kerana ia menunjukkan komitmen padu beliau untuk memastikan tiada lagi pegawai dan anggotanya terlibat menerima rasuah dengan melindungi kegiatan judi, jenayah bersindiket dan gengste­risme yang menjatuhkan imej organisasi tersebut.

Pendirian Mohamad Fuzi se­­iringan dengan laungan yang di­buat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepemimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang sebelum ini turut menegaskan akan memerangi jenayah judi haram.

Kata Dzulkifli, sudah pasti kegiatan itu ada kaitan dengan amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa sehingga menye­babkan ia sukar dihapuskan.

Ketegasan Mohamad Fuzi dan komitmen Dzulkifli sudah pasti akan menjadi satu gabungan tenaga yang padu bagi memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa, khusus­nya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat diatasi.

Sesungguhnya kita tidak me­­na­fikan komitmen PDRM se­belum ini yang berusaha ber­sungguh-sungguh untuk me­merangi kegiatan judi haram, tetapi adakalanya ia terbantut kerana akibat amalan rasuah.

Sikap segelintir pegawai dan anggota polis yang sanggup bersekongkol dengan sindiket semata-mata mahu hidup mewah telah menyebabkan imej PDRM tercalar sedangkan dalam pasukan itu terdapat ratusan ribu lagi pegawai dan anggotanya yang bertugas dengan penuh amanah demi bangsa dan negara.

Oleh itu, kelompok yang sanggup mengkhianati amanah tersebut tidak boleh dibiarkan. Kita tidak mahu lagi ada mana-mana individu boleh menjadi orang tengah yang mengutip ‘ufti’ daripada tauke-tauke judi untuk diserahkan kepada anggota penguat kuasa seperti mana pernah didakwa berlaku di Me­laka baru-baru ini.

Justeru, demi menjaga integriti dan maruah agensi penguat kuasa, sudah tentulah ketegasan yang ditunjukkan oleh Moha­mad Fuzi harus diberi pujian se­mentara komitmen Dzulkifli perlu dijadikan peringatan.

Gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam apa juga kegiatan jenayah sama sekali tidak boleh dibenarkan kerana yang akan menanggung akibatnya ialah rakyat dan negara.

Atas sebab itulah, amaran Mohamad Fuzi perlu dipandang serius oleh semua pihak khususnya pegawai dan anggota PDRM. Jika ada antara mereka masih berhasrat mahu menyuap rezeki haram ke dalam mulut ahli keluarga, hentikanlah perbuatan tersebut.

Kenyataan Mohamad Fuzi jelas menunjukkan ketegasan beliau yang sama sekali tidak akan berkompromi dengan kelompok yang dianggap, “...ramai yang berlakon, main wayang pun ada...’’.

Dan lebih daripada itu, mereka juga perlu ingat selain tindakan dalaman oleh PDRM, SPRM juga tidak akan membiarkan golongan ini terus menikmati wang haram dengan mengkhianati amanah yang diberikan.

Semoga amaran Mohamad Fu­zi dan ketegasan Dzulkifli akan mengukuhkan maruah serta integriti bukan sahaja PDRM tetapi juga agensi penguat kuasa lain. Tahniah Tan Sri!