Perdana Menteri memberitahu, penyertaan Malaysia dalam pakatan tentera Islam yang dibentuk Arab Saudi bersama 34 negara lain merupakan isyarat jelas terhadap pendirian tersebut.

“Arab Saudi tidak bersendirian dalam menghadapi sebarang ancaman,” katanya melalui laman Facebook beliau hari ini.

Najib menjelaskan, beliau turut melawat anggota tentera Malaysia yang menyertai latihan ketenteraan ‘North Thunder’ di Hafar Al-Batin dalam lawatan kerjanya ke Arab Saudi baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak syarikat Malaysia diberi peluang untuk bersaing mendapatkan projek-projek infrastruktur utama di Arab Saudi.

“Syarikat-syarikat Malaysia boleh mengikut jejak langkah Prasarana dalam projek Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Mekah Metro aliran selatan,” jelasnya.

Menurut Perdana Menteri, pada masa ini, hubungan Malaysia dan Arab Saudi berada pada tahap tertinggi serta beliau yakin kerjasama antara kedua-dua negara akan bertambah erat.