LEE LAM THYE
LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kesihatan mental yang baik adalah penting di tempat kerja kerana ia menyumbang kepada produktiviti dan keuntungan lebih tinggi.

“Ketidakhadiran adalah apabila seorang pekerja berniat atau sengaja tidak pergi kerja dengan kerap, manakala ‘presenteeism’ pula apabila pekerja datang bekerja walaupun sakit atau mengalami tekanan melampau tetapi kedua-duanya boleh memberi kesan negatif kepada organisasi dari segi produktiviti dan prestasi.

“Tinjauan Kesihatan Kebangsaan Morbiditi Malaysia (NHMS) 2015 mendapati, 29.2 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami penyakit mental. Tekanan berkaitan pekerjaan merupakan satu isu paling mencabar dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, beban kerja berlebihan, pengurusan kerja tidak cekap, peranan kerja yang bercanggah, pekerjaan tidak stabil, konflik interpersonal, penderaan fizikal dan psikologi, gangguan seksual, kurang sokongan daripada pihak pengurusan tinggi serta komunikasi tidak efektif menyumbang kepada risiko psikososial di tempat kerja.

“Ada majikan dan pengurus yang menyebabkan tekanan di tempat kerja kerana mereka menafikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan amat diperlukan untuk mengekalkan kesihatan mental positif bagi pekerja,” katanya.

Menurut Lam Thye, majikan perlu menggerakkan jawatankuasa OSH untuk memeriksa dan mengenalpasti masalah berkaitan kesihatan mental di tempat kerja dan merangka program yang sesuai bagi menangani masalah tersebut.

“Langkah-langkah pencegahan adalah penting terutamanya apabila majikan dan pekerja mungkin tidak dapat mengenali tanda-tanda tekanan atau risiko psikososial seperti kemurungan sederhana, contohnya ‘burnout’ dan ‘dysthymia’.

“Dalam masa sama, kerajaan pula perlu memperkenalkan garis panduan untuk menggalakkan kesihatan mental di tempat kerja melalui kempen dan pendidikan mengenai kesihatan mental, sama ada di peringkat kebangsaan, negeri atau organisasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE