Timbalan Presiden UMNO itu berkata, semua pihak harus berlapang dada dan tidak melenting serta beremosi dengan keputusan yang dibuat pe­mim­pin terbabit.

“Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara sukarela.

“Saya menyarankan semua pendukung UMNO terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama. Silaturahim dan perjuangan antara pemim­pin Melayu Semenanjung dan pemimpin bumiputera Sabah dan Sarawak mesti diteruskan,” katanya dalam kenya­taan, di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau yakin sekiranya UMNO dapat menguasai semula kawasan Parlimen Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, parti itu boleh bergabung dengan pemim­pin di dua negeri itu untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Saya akui ada kebenarannya bahawa UMNO mesti mengelakkan parti ini daripada menjadi semakin kecil dan lemah. Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baharu dan kehilangan rakan sedia ada.

“Yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali UMNO akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini,” katanya.

Ujarnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin Sabah yang keluar dari UMNO atas sumbangan dan jasa kepada parti itu, orang Melayu dan bumiputera di negeri itu selama ini.