Presiden dan Ketua Pegawai Ek­sekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, pihak­nya menjangkakan kelancaran trafik akan bertambah baik secara berperingkat.

“Memang tidak dinafikan jalan sekitar (laluan SBK) itu masih sesak tetapi sudah mula berkura­ngan selepas ia berope­rasi sepenuhnya berbanding sebelum ini.

“Namun kita jangkakan lebih ramai akan menggunakan MRT selepas mereka sudah mula terbiasa dengan sistem dan semua jajaran ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhu­bung isu ke­se­sakan jalan raya yang didakwa ma­sih berlaku meskipun MRT laluan SBK telah beroperasi sepenuhnya sejak dua hari lalu.

Dalam pada itu, Azmi meminta semua pihak khususnya penduduk di sekitar jajaran Kajang yang bekerja di pusat bandar terus memanfaatkan kemudahan infrastruktur yang disediakan.

“Saya berharap lebih ramai penduduk sekitar akan menggunakan kemudahan ini kerana ia lebih jimat, bukan sahaja perbelanjaan malah masa untuk mereka bersama keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan menerusi laman sosial Facebook mendapati masih ramai yang memberikan maklum balas dan membuat pertanyaan di akaun MRTMalaysia walaupun Rapid KL adalah pengendali perkhidmatan MRT dan bas pengantara.

Bagaimanapun kebanyakan ko­men adalah mengenai bas perantara dan kekeliruan pengguna mengenai papan tanda arah yang didakwa kurang mencukupi.

Pengendali halaman Rapid KL juga menjalankan tugas dengan baik dengan menjawab pelbagai soalan yang dilontarkan di laman Facebook syarikat tersebut.