Muhammad Saleh Bantan
Muhammad Saleh Bantan

Di Tanah Suci ini sahaja, ba­nyak anggota keselamatan ditempatkan di semua lokasi tumpuan jemaah haji dari seluruh dunia termasuklah 30,200 jemaah haji Malaysia yang akan tiba secara berperingkat-peringkat sehingga 26 Ogos ini.

Dalam usaha yang begitu ko­mited, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Bantan seperti dipetik dalam portal Saudi Gazette menyatakan, pihaknya telah mula menempatkan 95,000 anggota keselamatan lelaki dan wanita di kawasan Tanah Suci ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik de­ngan keselesaan tinggi kepada jemaah haji.

Jumlah itu merupakan angka tambahan kepada pekerja sukarela dan pengakap, ya­ng telah pun menja­lankan tanggung­ja­wab­ membantu jema­ah haji.

Perkembangan itu­ nyata memberikan­ ke­le­gaan kepada je­ma­­ah, apatah lagi da­lam memastikan keselamatan ope­rasi haji berjalan baik.

Tahun ini dijangka hampir empat juta jemaah haji berada di Tanah Suci.

Apa yang perlu dinyatakan, seramai 23,000 tenaga kerja ter­masuk jurutera, juruteknik, pe­kerja pembersihan dan ramai lagi akan memastikan kawasan Masjidil Haram dan sekitarnya diawasi dan dibersihkan sentiasa.

Dengan persiapan rapi itu, kota Mekah sememangnya sudah bersedia untuk menerima jutaan jemaah pada tahun ini, apatah lagi pihak kesihatan Arab Saudi mengumumkan mereka telah bersiap sedia dengan 4,000 katil di hospital dan pusat perubatan untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan kecemasan.

Sebanyak 128 pusat perubatan dan ra­watan yang lengkap juga disediakan sebagai tam­­­bahan hospital se­dia ada di Mekah, Mi­na, Arafah dan Mudzalifah.

Sebanyak 100 ambulans turut ditempatkan di kota suci ini, selain 45 ambulans bersedia untuk mengangkut jemaah yang sakit sama ada dari Madinah mahupun Mekah untuk menyelesaikan ibadah haji kelak.

Pihak berkuasa Palang Merah Saudi juga menempatkan 1,245 pusat tetap dan sementara dengan 10,000 anggota lelaki dan wanita bersiap sedia untuk berkhidmat.

Melalui perkembangan ini, Palang Merah Saudi turut menyediakan ambulans untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah, selain tiga pengangkutan udara untuk sebarang kemung­kinan.

Perkembangan itu memberikan gambaran betapa kerajaan Arab Saudi mahu memastikan perjalanan haji ini diurus dengan profesional serta menyenangkan lebih empat juta jemaah haji.

Syarikat Air Kebangsaan Arab Saudi (NWC) juga meningkatkan kuantiti air yang dipam masuk ke kawasan kota suci ini, iaitu 18.15 juta meter padu, penambahan 21 peratus berbanding tahun lalu.

Bekalan air zamzam dalam Masjidil Haram juga mencukupi.

Berdasarkan statistik, lebih 570,568 jemaah haji pelbagai negara termasuk Malaysia telah pun berada di Mekah, yang mana 564,239 jemaah menggunakan khidmat penerbangan, 480 orang (pengangkutan laut), manakala 5,849 orang (jalan darat).

Sejak musim haji tahun ini bermula, sebanyak 385,191 jemaah telah melawat Madinah dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW serta beribadah di Masjid Nabawi dengan 209,000 jemaah masih berada di Madinah pada waktu ini.