Kerjasama kedua-dua negara itu dimeterai melalui memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Sanae Takaichi.

Salleh berkata, kerjasama seumpama itu bukan sahaja dijalin bersama Jepun bahkan dengan negara-negara lain berikutan ke­selamatan siber kini menjadi keutamaan dunia.

“MoC ini menunjukkan per­sefahaman yang terjalin antara Malaysia dan Jepun sejak sekian lama. Kerjasama ini akan me­numpukan pada isu berkaitan keselamatan siber dan juga penyiaran,” katanya selepas majlis menandatangani MoC itu di kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun di Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan Bahagian An­ta­rabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyebut, MoC tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang ICT, pengurusan bencana, aspek ICT dalam keselamatan siber, Mobile Digital Wallet, 5G dan Internet of Things (IoT).

Antara aktiviti yang akan dilaksanakan kedua-dua nega­ra adalah penerbitan bersama bahan penyia­ran termasuk kan­dungan digital, pertukaran kepakaran dan sistem berkaitan digital.

“Idea untuk mewujudkan MoC dalam bidang maklumat dan komunikasi dicetuskan pada 2014. MoC ini akan merintis jalan ke arah kewujudan lebih banyak peluang jangka panjang di pasaran ASEAN.

“Ini termasuklah dalam bidang pelaburan, perdagangan dan pelancongan. Selain itu, ia juga dapat menggalakkan lebih banyak usaha secara bersama dalam bidang maklumat dan komunikasi dan merangsang pertumbuhan industri kreatif tempatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, menerusi MoC tersebut juga, beberapa program akan dilaksanakan seperti pertukaran maklumat mengenai dasar, peraturan dan pembangunan modal insan dalam bidang ICT.