Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata, untuk memastikan tahap keselamatan di dua negeri ini terjamin, beliau melaksanakan tugas berpandukan kepada empat perkara asas yang terkandung dalam tonggak pasukannya.

Beliau berkata, empat perkara asas itu ialah amal, sistem regimental, adaptasi dan siap siaga.

“Empat perkara asas ini memang sudah ada dan menjadi amalan dalam Medan Pemerintahan Timur Tentera Darat.

“Pada masa sama, saya akan mengadaptasikan keadaan semasa dalam pentadbiran kerana ancaman keselamatan sentiasa berubah mengikut keadaan.

“Sebagai contoh, jika dulu kita berdepan dengan ancaman trend tradisional seperti komunis, konfrantasi dan serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, sekarang kita terdedah kepada ancaman trend politik dan teknologi maklumat (IT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Meraikan Anggota Cedera Anjuran Markas 1 Divisyen Sempena Hari ATM di Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk menghadapi cabaran trend terkini itu, semua anggotanya dikehendaki mempersiapkan diri termasuk siap siaga berdepan dengan perubahan IT dan tidak boleh lagi berada dalam kehidupan terpencil.

Terdahulu, Zamrose menyampaikan sumbangan ihsan bagi menghargai 36 anggota Tentera Darat berasal dari Sarawak yang mengalami kecederaan semasa berkhidmat sebagai mengenang jasa mereka yang sanggup berkorban mempertahankan keselamatan negara.

Antaranya, ada dalam kalangan pesara tentera yang diraikan itu mengalami kecacatan kekal termasuk putus sebelah kaki, hilang jari tangan, lumpuh dan pekak akibat ditembak musuh, terpijak jerangkap samar semasa operasi atau menjalani latihan.-UTUSAN ONLINE