Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kerajaan akan ber­usaha sebaik mungkin untuk me­ningkatkan keupayaan menjaga keselamatan dan perairan negara.

“Selagi berupaya akan cuba (tingkatkan keupayaan menjaga keselamatan dan perairan)...tapi kekangan kewangan itu realiti.

“Hal keselamatan negara tiada kompromi, kita akan ubah apa yang boleh dalam keadaan kekurangan kewangan ketika ini,” katanya selepas menghadiri program Dialog Bersama Komuniti Nelayan Se­kinchan di Pantai Redang dekat sini hari ini.

Minggu lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa kerajaan PH tidak menggunakan faktor kekangan kewangan sebagai alasan untuk mengurangkan aset keselamatan di kawasan sempadan perairan negara.

Menurut Shahidan, keputusan meletakkan aset keselamatan secara berkala di Beting Patinggi Ali, Sarawak seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak mengutamakan keselamatan rakyat.

Mengulas tentang program itu, Mohamad berkata, beliau amat prihatin terhadap isu-isu keselamatan nelayan terutamanya di perairan Selat Melaka.

“Sepanjang hampir tiga bulan saya dilantik menjadi Menteri Pertahanan, pihak TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) telah membawa saya belayar dan melawat beberapa tempat, selain memberi pelbagai taklimat.

“Isu-isu keselamatan bukan asing lagi pada saya dan saya akan pastikan keselamatan nelayan-nelayan di kawasan ini diberikan perhatian serius serta segala luahan dan permasalahan diambil tindakan secepat mungkin,” ujarnya.