Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, pihaknya telah menugaskan seramai 100 pegawai dan anggota untuk memastikan program tersebut berjalan dengan lancar.

Katanya, selain kawalan pihak polis, sebanyak 100 anggota Jabatan Sukarelawa Malaysia (Rela) turut membantu bersama pihak Polis Tentera (MP).

“Kita telah menugaskan anggota secukupnya bagi membantu memastikan keselamatan dan kelancaran trafik pada Ahad ini.

“Justeru itu, saya berharap peserta dan orang ramai dapat meletakkan kenderaan di tempat yang ditetapkan memastikan acara yang disertai peserta dari 30 negara ini berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Mahmood dan Pengarah Kuching Marathon 2018, Liew Tang Chieh.

Kuching Maraton 2018 memasuki tahun kelima merupakan program larian marathon bertaraf antarabangsa

anjuran Kuching Marathon Association (KMA) akan bermula pukul 12.01 tengah malam sehingga 8 pagi.

Bagi melancarkan laluan awam dan demi keselamatan peserta larian beberapa laluan jalan raya sekitar kawasan permulaan dan penamat akan ditutup atau dilencongkan pada waktu itu.- UTUSAN ONLINE