Baginda bertitah, oleh sebab itu, tiada tempat di dalam agama itu ciri-ciri keganasan, sikap yang keras dan inklusif berhubung kebajikan, sebaliknya umat Islam dituntut bekerjasama ke arah kebaikan dan ketakwaan.

“Ini selari dengan tujuan utama mewujudkan kesatuan umat yang bukanlah untuk bermusuh dengan pihak yang lain tetapi adalah untuk bersama-sama membina sebuah tamadun atau peradaban tinggi yang mengimbangi antara pembangunan material dan kebendaan serta keteguhan rohani.

“Sebuah tamadun sejahtera yang membawa kepada kehidupan manusia, kedamaian, hikmah dan kebijaksanaan, merentasi kaum, bangsa, tempat dan juga agama,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan majlis Penutupan Seminar Ummatan Wahidah 2018 di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama majlis-majlis agama Islam di enam wilayah Andaman bersempena program Ziarah Mahabbah MAIPs 2018.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Gabenor Wilayah Trang, Siriphat Phatthakul dan Naibnya, Chaiporn Pattanarak serta ahli-ahli majlis MAIPs dan ahli-ahli jawatan kuasa kewangan MAIPs.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, perbezaan negara juga seharusnya tidak menghalang untuk kedua-dua umat Islam di negara berjiran itu saling bekerjasama membangunkan kekuatan ekonomi, pendidikan dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Sebagai rekod, matlamat utama MAIPs melawat umat Islam di wilayah Andaman ialah untuk menyebarkan misi ummatan wahidah, iaitu umat yang satu, yang mencintai kebaikan dan kedamaian dalam kalangan manusia.

Pada masa sama, MAIPs yang diterajui baginda selaku Yang Dipertuanya berhasrat saling membantu membina tamadun dan kemajuan hidup sesama umat Islam agar menjadi penyumbang kebaikan kepada seluruh manusia tanpa mengira kaum, bangsa, negara dan agama.

Antara ahli panel di seminar yang dihadiri 400 peserta tersebut ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Rektor Universiti Fatoni Dr. Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya.

Terdahulu daripada itu baginda berkenan menerima kunjungan mengadap hormat oleh yang dipertua-yang dipertua majlis agama Islam di enam wilayah Andaman. - UTUSAN ONLINE