Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pendekatan sedemikian mampu memadamkan api kebencian dan membendung pengaruh serta idea-idea ekstrem, tidak bertole­ransi, xenophobia dan perkauman.
“Saya percaya suara yang bernada toleransi dan persefahaman dapat menenggelam suara yang menyanjung ekstremisme dan menyemai benih kebencian dalam kalangan masyarakat kita,” katanya kepada wartawan Malaysia di Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Dalam perhimpunan itu semalam Anifah menyampaikan ucapan bertajuk ‘Fokus kepada rakyat: Berusaha mewujudkan keamanan dan kehidupan lebih baik di dunia mapan’.
Sehubungan itu, kata beli­au, adalah amat penting bagi ma­syarakat berbilang kaum, aga­ma dan budaya bersatu mencari aspirasi damai dan me­raikan ke­pel­bagaian daripada terpengaruh dengan perangkap ekstrem.
Beliau juga berharap dapat membawa inisiatif Gerakan Ke­sederhanaan Global melalui Re­solusi PBB dalam perhimpunan kali ini.
Mengenai perhimpunan kali ini, Anifah berkata, tema yang dipilih sangat tepat dan relevan ketika semua negara berusaha keras untuk mencapai kesemua 17 matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030.
Katanya, perjalanan bagi mencapai matlamat tersebut bukan mudah tetapi penuh dengan ca­baran.
“Malah ada antara negara ahli berpendapat ia harus menjadi satu-satunya tumpuan bagi seluruh komuniti antarabangsa untuk memastikan kelangsu­ngan masa depan dunia secara inklusif,” tegasnya.
Anifah sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Al-Safadi dan Bahrain iaitu Khalid Ahmed Al Khalifa.
Mereka membincangkan pelbagai perkara terutama yang melibatkan isu penindasan etnik Rohingya dan ancaman pengganas Daesh. – UTUSAN