Tinjauan di beberapa lokasi berkepadatan tinggi dan sibuk antaranya Bandar Tun Razak, Cheras mendapati bukan sahaja penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan lampu isyarat di sepanjang jalan utama, malah ada juga kalangan pemandu kereta dan kenderaan berat turut melakukan kesalahan sama.

Ketika meninjau gelagat sekelompok pengguna selama lebih 15 minit di Jalan Seri Permaisuri, dekat sini, Utusan Malaysia mendapati penunggang motosikal adalah kelompok pengguna tertinggi tidak mematuhi isyarat lalu lintas, malah mereka langsung tidak memikirkan soal keselamatan diri mahupun pengguna yang lain.

Sementara itu, di lokasi kedua iaitu Jalan Budiman, simpang tiga yang menjadi peng­hubung lalu­an utama ke­­ ­kawasan penempatan, pelbagai gelagat ‘menggerunkan’ boleh dilihat termasuk aksi seorang penunggang motosikal yang membawa pulang anak dari sekolah bukan sahaja melanggar lampu isyarat merah malah tidak memakai topi keledar.

Beberapa penunggang yang ditemui memberi alasan, tindakan segelintir penunggang tidak mematuhi lampu isyarat adalah kerana faktor cuaca yang panas selain perlu bergegas ke lokasi yang hendak dituju.

Dalam pada itu, salah satu trend dapat dilihat di persimpangan Jalan Yaakob Latif (berhadapan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), sikap tidak berhemah pengguna jalan raya amat terserlah apabila simpang utama yang dilengkapi lampu isyarat seolah-olah suatu hiasan semata-mata.

Penunggang motosikal mahupun pemandu kereta gemar memecut laju setelah lampu isyarat mula bertukar kuning bagi mengelak berhenti di kawasan berkenaan.

Sikap tidak bertimbang rasa pengguna hingga sanggup menggadai nyawa di jalan raya selain gagal mematuhi isyarat lalu lintas ditetapkan adalah antara faktor pendorong utama kadar kemalangan meningkat khususnya di jalan-jalan negeri.

Lantaran itu, pelaksanaan Op Khas Lampu Merah yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat tepat pada masanya bagi memupuk kesedaran berke­naan kepentingan keselamatan di jalan raya dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelakkan peningkatan kadar kematian akibat kemala­ngan.