Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengamal media sepatutnya mempunyai pengetahuan terutama dalam aspek perundangan serta teknikal apabila ditugaskan di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, golongan itu harus mengamalkan konsep mengenal pasti bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC) dalam membuat tugasan mereka.

“Apabila sebut berkenaan keselamatan di tempat kerja, kita tidak boleh abaikan pihak media dan sangat penting bagi mereka untuk sampai ke lokasi. Namun, apabila ditanya tentang keselamatan, mereka hanya memberitahu perkara asas dan tidak dapat jelaskan hal yang melibatkan teknikal serta undang-undang.

“Dan harus diingat sebagai pekerja, mereka tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Oleh itu, majikan dan pekerja perlu memahami tanggungjawab mereka demi  mewujudkan tempat kerja selamat, “ katanya ketika ditemui dalam  program ‘Occupational Safety and Health (OSH) for Media’ di Ibu Pejabat NIOSH, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE