Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ke­lewatan atau tiada laporan dibuat disebabkan keengganan ibu bapa yang menganggap jenayah seksual satu stigma memalukan keluarga atau ingin melindungi pemangsa.

“Selain itu, mereka berasakan menghadiri prosiding mahkamah yang mengambil masa terlalu panjang membe­bankan. Hakikatnya, kesan jang­ka pendek jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja menyebabkan kecedera­an fizikal, malah merangkumi gangguan psikologi, emosi dan tingkah laku yang berlarutan hingga dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­­tika berucap dalam Majlis Pelancaran Portal Aduan pahangcakna.com sempena Seminar Hentikan Jenayah Seksual Kanak-kanak peringkat negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat negeri, Datin Seri Junaini Kassim.

Portal berkenaan menjadi me­dium kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat tentang jenayah seksual kanak-kanak dan melaporkan kejadian itu dengan pantas.

Menurut Rosmah, berdasarkan kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 90 peratus penggunaan Internet dicapai melalui telefon pintar dengan 53 peratus pengguna adalah ka­nak-kanak seawal usia enam tahun.

“Kajian juga menunjukkan setiap kanak-kanak akan mempunyai telefon pintar pada usia 15 tahun dan mempunyai akaun laman sosial Facebook.

“Paling membimbangkan ada­lah mereka tidak men­ye­dari dan tidak risau bahawa ini akan mendedahkan diri kepada orang luar. Sebanyak 70 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji menyatakan mereka me­nerima mesej negatif atau lucah,” ujarnya.

Beliau selaku Penaung Program Permata akan mene­rus­kan usaha meningkatkan kese­daran dan mendidik masyarakat tentang jenayah tersebut dengan pelbagai kempen menerusi media massa serta menyediakan risalah dan garis panduan.

“Saya mahu menyediakan garis panduan tentang prosedur pelaporan, tanda-tanda awal dalam mengesan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan teknik bagi membantu ibu bapa mendidik anak tentang ancaman seawal usia tiga tahun,” kata beliau.