Hal ini kerana, rakyat di negara seperti Perancis, China dan Korea Selatan mempunyai kesedaran yang begitu tinggi apabila menggunakan bahasa ibunda mereka dalam melaksanakan urusan seharian.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Azahari Edin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam tentang iklan yang dipamerkan di negara ini tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

“Ada iklan yang digantung dan papan iklan perniagaan tidak menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya, menggunakan bahasa rojak serta tidak menggunakan ejaan yang betul.

“Hasil pemantauan di sebuah majlis perbandaran mendapati kesalahan yang biasa dilakukan pada ruangan iklan di tempat awam adalah kesalahan ejaan iaitu sebanyak 56 peratus.

“Ini diikuti dengan kesalahan istilah dan terjemahan (32 peratus), pemilihan kata (4 peratus) dan tatabahasa (8 peratus). Jus­teru, premis perniagaan terlibat boleh mendapatkan khidmat pengesahan bahasa yang kita sudah laksanakan daripada secara sukarela kepada paksa rela sejak 2015. Oleh itu, orang ramai boleh merujuk kaunter perkhidmatan atau mendaftar melalui sistem DBP di www.dbpsahbahasa.my,” katanya dalam temu bual khas sempena bulan memartabatkan bahasa kebangsaan di Ibu pejabat DBP, baru-baru ini.

Malah, katanya, hampir semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini sudah melaksanakan arahan penggunaan Bahasa Me­layu yang betul di setiap ruangan iklan yang dipamerkan.

Menurut Azahari, DBP memainkan peranan penting dalam melestarikan bahasa kebangsaan walaupun pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan.

“Tugas kita adalah berdakwah kepada orang ramai tentang penggunaan bahasa yang betul, memberi teguran serta nasihat manakala PBT yang mempunyai bidang kuasa untuk melakukan sebarang penguatkuasaan.

“Malah, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan terhadap sebarang kesalahan bahasa yang dilakukan oleh premis perniagaan di laman web rasmi DBP iaitu www.dbp.gov.my,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azahari menambah, tugas memartabatkan bahasa kebangsaan tidak hanya digalas oleh DBP semata-mata.

Katanya, pelbagai pihak memainkan peranan sama pen­ting dalam memastikan usaha berterusan mengangkat martabat bahasa rasmi negara ini.

“DBP menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, pihak berkuasa awam, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu.

“Malah, pelbagai program yang diatur setiap tahun se­perti pengukuhan dasar bahasa yang bertujuan memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan melalui Jawatankuasa Pelaksa­naan Bahasa Kebangsaan dan 19 Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan.

“Aktiviti yang dilaksanakan termasuklah penyelarasan akta, undang-undang kecil dan peraturan di samping mengadakan dialog, ceramah, taklimat, muzakarah dan ziarah bahasa,” ujarnya.