Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, perkara tersebut dapat dilihat dari segi jumlah kutipan cukai SST nanti hanya separuh daripada GST.

"Kita akan cuba mengekalkan harga apabila SST dilaksanakan bagaimanapun sekiranya ada kenaikan ianya adalah minimum.

"Kementerian ketika ini sedang mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan seperti peniaga, pengilang dan pembekal memastikan agar tiada yang cuba mencatut," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Dialog Bersama Peniaga Kedai Kopi Sarawak, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah KPDNHEP negeri, Datuk Stanley Tan dan Timbalan Pengarahnya, Md. Nawawi Ab. Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya cuba sebaiknya untuk mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga.

Katanya, isu timbul seperti apabila pengguna mengadu harga minuman mahal pada segelintir kedai lebih-lebih lagi apabila kadar sifar GST.

"Secara asasnya kita tidak mengawal harga minuman namun dapat memberikan garis panduan am untuk diikuti.

"Kita mahu membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul dan faham isu utama adalah kenaikan kos sara hidup," jelasnya.

Dalam pada itu, Chieng Jen memberitahu, pihaknya akan melihat semula cadangan dibuat peniaga kedai kopi di sini dan kebolehlaksanaannya.

"Dalam seminggu dua ini, kita akan cuba mencari mekanisme yang dapat membantu mereka.

"Dialog tadi berjalan dengan baik dengan isu utama berkaitan harga minuman melibatkan faktor kos operasi, gaji minimum, hak cipta dan pembekal," ujarnya. - UTUSAN ONLINE