Pengerusi Manis, Arfi Ahmad berkata, adalah tidak wajar individu terbabit menggunakan perkataan ‘bingai’ terhadap seorang wartawan wanita dan menggelarnya dengan begitu rendah dan hina.

“Lebih menyedihkan sehingga kini tiada satu pun permohonan maaf daripada beliau kepada wartawan tersebut dan langsung tidak mengakui kesilapannya.

“Bukanlah kami pengamal media ini tidak boleh ditegur tapi biarlah secara bersemuka atau berhemah dan bukannya menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menyalahkan pengamal media.

“Kerajaan dan media seperti aur dan tebing saling perlukan antara satu sama lain. Jangan dikeruhkan lagi air di hulu kerana nanti air di hilir juga akan keruh. Begitulah ibaratnya media dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Arfi, apa yang dikesali perbuatan pegawai itu mencerminkan slogan ‘Bersih, Mufakat dan Sejahtera’ yang diperkenalkan dalam pentadbiran Aminuddin langsung tidak ada pada pegawainya sendiri.

“Apatah lagi beliau bertugas di negeri beradat dan sepatutnya beradab sopan dan nilai murni dalam tutur kata bahasanya ketika menjalankan tugas yang diamahkan oleh menteri besar,” ujarnya.

Menurut beliau, cara pembantu khas pemimpin itu mengeluarkan kenyataan tersebut amat dikesali oleh Manis.

Semalam, pegawai itu memuat naik status menghina seorang wartawan Sinar Harian dalam Facebook ekoran tidak puas hati dengan laporannya berhubung kenyataan Aminuddin mengenai isu sijil halal semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri. - UTUSAN ONLINE