Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Presiden Indonesia, Joko Widodo tidak menyatakan permohonan maaf secara langsung berhubung perkara itu, namun beliau menyatakan rasa tertekan dengan keadaan yang berlaku itu.

“Beliau faham dan sedar bahawa secara fakta perkara itu sesuatu yang memalukan tetapi keadaan ini adalah sesuatu yang amat sulit. Bukanlah tujuan beliau membenarkan perkara ini (pembakaran terbuka hutan dan kawasan pertanian) berlaku.

“Tetapi pada hakikatnya kalau mereka (peladang) tidak menggunakan cara tebang dan bakar, kos untuk membuka kawasan pertanian terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Joko Widodo atau Jokowi di Istana Presiden, di Bogor, dekat sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya adakah Jokowi memohon maaf kepada Malaysia ekoran bencana jerebu yang memberi kesan teruk kepada Malaysia sehingga suatu ketika sekolah-sekolah di hampir semua negeri terpaksa ditutup ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan dua hari ke republik ini. Beliau mengadakan rundingan dengan Jokowi untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam membangunkan industri sawit, selain membincangkan mengenai kerjasama di bidang alam sekitar.

Menurutnya, para petani dan peladang di Indonesia memilih kaedah tebang dan bakar bagi membuka kawasan pertanian baharu kerana kaedah lain yang lebih mesra alam adalah 40 kali ganda lebih mahal berbanding kaedah yang dilakukan sekarang.

“Lagi pun mereka ini miskin menyebabkan mereka memilih kaedah ini. Kebakaran juga melibatkan kawasan yang begitu luas, ditambah pula dengan fenomena el-Nino yang mengakibatkan kebakaran mudah merebak ke kawasan yang lebih luas,” ujarnya.

Sebelum ini, Jokowi menyatakan republik itu memerlukan masa tiga tahun untuk menangani masalah jerebu dengan cara membina empangan dan terusan-terusan di kawasan pertanian untuk membasahkan tanah gambut dan mengawal kebakaran.

Bagaimanapun, Najib yang menyifatkan tempoh tiga tahun itu terlalu lama, mencadangkan kerajaan Indonesia membina telaga tiub seperti yang banyak dilakukan di Sarawak dalam usaha mengawal kebakaran khususnya di tanah gambut.

“Pembinaan terusan yang memakan masa tiga tahun adalah terlalu lama. Jadi kita akan terus berdepan dengan ancaman jerebu dalam masa tiga tahun lagi. Jadi pembinaan telaga tiub dikira lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jokowi memandang positif cadangan tersebut dan mengarahkan pihak berkuasa mengadakan lawatan ke Malaysia dan melihat sendiri kaedah telaga tiub yang banyak diamalkan di kawasan pertanian di Sarawak.

Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan itu juga, beliau memberitahu Jokowi bahawa jerebu telah memberi ancaman kepada rakyat Malaysia dari segi kesihatan, ekonomi, pengangkutan, persekolahan dan pelbagai perkara lagi yang terganggu ekoran masalah tersebut. – UTUSAN