Penduduk mendakwa, daripada pengagihan tanah seluas lebih 14 hektar itu, hanya 61 individu berasal dari kawasan Sungai Yu, selebihnya dari ne­geri lain, antaranya Perak dan Pulau Pinang.

Pengerusi MyPPP Tanjong Karang, P. Pluvandran berkata, tahun lalu, dia bersama penduduk pernah melakukan bantahan berhubung perkara itu, namun kesal kerana tiada sebarang tindak balas daripada kerajaan ne­geri.

Bahkan katanya, pihak Pe­jabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor mengarahkan penduduk supaya membawa bukti sekiranya berlaku penyelewe­ngan berhubung pengagihan tanah di Kampung Sungai Yu tersebut.

“Saya bersama penduduk hari ini membawa bukti jelas senarai nama penerima yang tidak layak dan bertentangan dengan syarat ditetapkan, antaranya bukan pen­duduk tempatan, berkemam­puan serta be­kerja sebagai doktor.

“Malah, kami juga mahu pejabat tanah memberi penjelasan dan jangan sekadar berdiam diri. Selain pengagihan lama dibatalkan, kami mahu satu pemilikan baharu dilakukan, jangan duduk serta mengelak untuk berjumpa kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 penduduk di Sungai Yu mengadakan bantahan secara aman di hadapan bangunan Pejabat Ta­nah dan Daerah Kuala Selangor bagi menggesa pembatalan pe­ngagihan tanah dan menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun penduduk ti­dak dibenarkan berjumpa dengan pegawai daerah dan hanya menyerahkan senarai nama penerima tidak layak menerima tanah tersebut sebagai bukti kepada Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor (Unit Pelupusan), Nasrul Faiz Firdaus.

September tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Yu berkumpul bagi tujuan sama membatalkan pengagihan tanah lot yang dilaksanakan pada Ogos tahun lalu kerana penyerahan itu dipercayai tidak telus dan adil.