Kedua-duanya yang direman bermula 10 Januari lalu dibebaskan kira-kira pukul 10.30 pagi melalui perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Aida Kharuleen Azli membenarkan kedua-dua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 setiap seorang selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman.

Pada 10 Januari lalu, kedua-duanya direman selama enam hari sehingga 15 Januari lalu dan kemudian disambung selama lima hari lagi sehingga hari ini.

Dalam kes ini, seorang tim­balan pengerusi sebuah syarikat harta­nah, direman me­ne­rusi perintah Mahkamah Majistret Pulau Pinang ma­nakala seorang pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat pembinaan direman melalui perintah Mahkamah Majistret di sini.

Penahanan mereka dibuat susulan serbuan SPRM ke beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 9 Januari lalu, berhubung siasatan projek pembinaan itu.

Dalam serbuan itu, SPRM mengambil sejumlah dokumen bagi membantu siasatan ber­hu­bung dakwaan wujudnya penye­lewengan pembinaan terowong da­sar laut di Pulau Pinang.

Projek itu yang didakwa ber­nilai RM15 bilion itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan DAP Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Serbuan itu dilakukan selepas Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan pada 5 Januari lalu dan menyerahkan bukti baharu di pejabat SPRM di sini ekoran pendedahan yang mendakwa ke­rajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras yang ditetapkan.

Katanya, syarikat yang dianu­gerahkan projek terowong dasar laut itu didakwa memiliki modal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras minimum yang ditetapkan.