MOHD. ALI HASSAN
MOHD. ALI HASSAN

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata semua pihak perlu bertenang kerana hakikat sebenar kejadian masih belum diketahui.

"Ibu bapa juga dinasihat berbincang dahulu dengan pihak pentadbiran sekolah sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Sebaiknya perlu ada bersama pihak pengetua atau guru besar, wakil ibu bapa dan wakil kesatuan dalam perbincangan tersebut," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) bagi membincangkan topik 'Profesionalisme Perguruan' di sini malam tadi.

Beliau berkata orang ramai tidak boleh membuat kesimpulan awal mengenai isu berkenaan kerana ia masih disiasat polis.

Mohamad Ali berkata orang ramai hendaklah memberi kepercayaan kepada pihak polis kerana mereka memerlukan masa untuk menyiasat isu berkenaan secara komprehensif.

Jika sesuatu isu timbul di sekolah, ibu bapa perlu menyiasat perkara berkenaan terlebih dahulu dengan mengadakan perbincangan bersama pihak sekolah bagi mengetahui punca sebenar permasalahan berlaku, tegasnya.


"Sekiranya tidak boleh diselesaikan di peringkat dalaman, saya cadangkan mereka membawa sesuatu kes itu ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk dibincangkan tanpa perlu mengambil tindakan tidak wajar.

Katanya tindakan sedemikian perlu bagi mengelakkan sebarang ketegangan antara ibu bapa dan pihak sekolah lantas mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis dan tenteram untuk anak-anak di sekolah.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang merupakan panelis kedua dalam program itu, turut mengingatkan para guru supaya merujuk semula Tatasusila Profesion Perguruan Guru Malaysia sebelum melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap pelajar mereka.

"Menurut tatasusila itu, tanggungjawab guru terhadap pelajar termasuk lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain, bersikap adil kepada pelajar tanpa mengira faktor jasmani, mental, emosi, politik dan ekonomi serta merahsiakan ikhtisas atau hal sulit pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya," jelasnya.

Pada 1 Feb lepas, M.Vasanthapiriya, 13, meninggal dunia setelah tujuh hari berada dalam keadaan koma selepas menggantung diri di bilik rumahnya, dipercayai tertekan akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Jan lepas. - BERNAMA