Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih ketika menerima berita kematian remaja yang berusia 18 tahun itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Doa dan ingatan kami mengiringi ibu dan keluarganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pembuli remaja itu,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Nhaveen yang dibuli dan dipukul sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada HPP mengenai kematian Nhaveen pada pukul 6 petang tadi.

Mangsa yang koma sejak dimasukkan ke hospital, meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk mengalami kesan koyakan di dubur akibat ditusuk objek tumpul.

Dalam kejadian pukul 2.10 pagi Sabtu lalu, Nhaveen cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki manakala rakannya berusia 19 tahun melarikan diri untuk mendapatkan pertolongan.