Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, seba­nyak 111 kes Macau Scam dicatatkan pada tahun lepas berbanding 21 kes pada tahun sebelumnya atau peningkatan sebanyak 90 kes.

“Sebanyak RM360,313.30 kerugian kes Macau Scam direkodkan pada 2016 dan jumlah itu meningkat sebanyak 656.3 peratus atau kepada RM2,364,771.55 tahun lepas.

“Antara daerah mencatatkan peningkatan kes Macau Scam agak ketara adalah daerah ini di­ikuti Bentong dan Temerloh,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Menurut Rosli, statistik tangkapan melibatkan kes Macau Scam di negeri ini juga menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 64 tangkapan pada tahun lalu berbanding hanya 11 tangkapan tahun sebelumnya.

Kata beliau, polis sentiasa ber­­usaha menangani kegiatan penipuan telekomunikasi berke­naan namun usaha menyedarkan masyarakat tentang jenayah itu tidak akan berhasil jika tidak mendapat sokongan dan sambutan daripada orang ramai.

“Walaupun ramai sudah tahu tentang kegiatan Macau Scam ini tetapi kami masih lagi menerima laporan mangsa diperdaya.

“Saya berharap agar masya­rakat lebih berhati-hati dan jangan panik sebaliknya membuat laporan kepada polis atau institusi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, polis sedang melengkap­kan kertas siasatan berhubung kes seorang wanita membuat laporan palsu dengan mendakwa anaknya terjatuh ke dalam sungai di Felda Jengka 15, Maran dekat sini ketika memancing Ahad lalu.

Beliau berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan seterusnya selepas kertas siasatan disiapkan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mereka yang membuat laporan palsu. Setelah mendapat bukti yang cukup dan merujuk kepada pihak pendakwaan, kita akan bertindak dan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.