Ketua Polis Sela­ngor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dua individu terbabit ia­lah bekas penyanyi daripada sebuah kumpulan R&B dikenali sebagai Ahmad Tajuddin atau Taj dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Osh yang merupakan seorang anggota kumpulan na­syid tempatan.

Menurut beliau, buat masa ini, pihaknya berjaya meng­hubungi Osh na­mun masih belum tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

“Maklumat yang kita diterima Osh berada di Johor Bahru manakala Taj tidak dapat dikesan. Ketiga-tiga mereka termasuk pelakon Sofi Jikan didakwa bersama dengan Farid Kamil seperti dalam laporan polis yang dibuat baru-baru ini.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka gagal tampil di mana-mana balai polis berhampiran sehingga esok bagi membantu siasatan, kita akan mengeluarkan gambar kedua-dua individu terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 31 Januari lalu, Farid Kamil telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara dekat sini dan menamakan tiga individu yang didakwa memasukkan dadah dalam minumannya.

Sofi Jikan atau nama sebenar­nya, Mohamad Shoffi Jikan telah memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 11 malam kelmarin sebelum dia ditahan kerana ujian air kencing mendapati positif ganja.

Pelakon filem KL Gangster itu direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.