Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Fatimah Othman berkata, siasatan semula perkara tersebut akan dilakukan oleh pihak pengurusan hospital ber­kenaan.

“Pada masa ini, apa yang saya boleh beritahu ialah kita sudah minta perkara itu disiasat semula.

“Kementerian Kesihatan juga sedang menunggu laporan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian, ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Murid tahun enam, Saziila ­Anuar, 12, dimasukkan ke HDS pada 27 Julai lalu ke­rana mengalami demam serta mengadu sakit perut selepas minum susu yang diberikan oleh pihak sekolah pada hari sebe­lumnya.

Namun, selepas diberi ubat pada 28 Julai lalu, Saziila tidak sedarkan diri dan koma selama lima hari sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lebih dua minggu.

Selepas sedar daripada koma, dia mendapati sebahagian kaki dan tangannya menjadi hitam se­­perti terbakar sehingga doktor yang merawatnya mengambil keputusan untuk memotong bahagian kaki kiri, Khamis lalu.

Sementara itu, bapa murid terlibat, Anuar Mahat, 54, tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap HDS.

Dia percaya, kaki Saziila menjadi hitam selepas dirawat di HDS dan bukan dise­babkan komplikasi minum susu di sekolah.

Menurutnya, pada masa ini belum ada se­barang keputusan dibuat untuk me­nya­man HDS memandangkan keadaan anaknya yang masih belum stabil dan hanya mampu terbaring di rumahnya di Kampung Tekam, dekat sini.

“Pada waktu ini apa yang lebih penting bagi saya adalah mencari jalan merawat anak saya terlebih dahulu, terutama agar kakinya tidak dipotong dan dia mampu sihat seperti sediakala serta ­mampu meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Selepas itu barulah saya memikirkan apakah akan meneruskan niat tersebut atau sebaliknya dan sekiranya tindakan undang-undang diambil, ia hanyalah ke­rana membela nasib anak saya,” kata­nya ketika dihubungi di sini semalam.