Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook universiti, Naib Canselor Uniten, Prof. Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, mahasiswa terbabit telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.

Polis juga menjelaskan mereka tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, katanya.

Empat pelajar terbabit yang ditahan bersama 32 penuntut UPNM bagi membantu siasatan kes kematian Zulfarhan Osman yang dipercayai akibat didera, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman selama tujuh hari tamat semalam.

Bagaimanapun tempoh reman 32 lagi disambung lima hari sehingga Rabu depan.

Zulfarhan Osman, 21, pelajar kejuruteraan elektrik UPNM, dilapor cedera parah selepas dipercayai ditekap dengan seterika wap, disebat dengan tali pinggang serta didera oleh sekumpulan penuntut universiti berkenaan pada 20 dan 21 Mei lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 10 malam pada 1 Jun selepas dihantar untuk mendapatkan rawatan oleh beberapa rakan.

Mengulas lanjut, Kamal Nasharuddin berkata, Uniten melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan keempat-empat mahasiwa terbabit dapat menjalani kehidupan di kampus seperti biasa.

Beliau turut meyampaikan penghargaan Uniten kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan moral serta mendoakan kesejahteraan mahasiswa terbabit.

"Buat keluarga Allahyarham Zulfarhan, warga Uniten mendoakan mereka bersabar dan diberikan kekuatan untuk menghadapi saat yang mencabar ketika ini," kata beliau dalam kenyataan tersebut. - BERNAMA