Mohamed Azmin Ali

Hal ini kerana Mohamed Azmin berkata, habitat nyamuk aedes yang hanya mampu hidup di kawasan air bersih menjadi bukti setiap sungai di negeri tersebut berada dalam keadaan yang cukup baik seterusnya menyumbang kepada peningkatan wabak itu.

“Hujah ini sudah cukup untuk mengetepikan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai lima kelemahan pentadbiran Kerajaan PKR Selangor tiga hari lalu.

“Saya kecewa de­ngan kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib yang menyerang kerajaan negeri Selangor dengan pelbagai pendedahan. Antaranya, beliau mengatakan bahawa sungai di Selangor adalah kotor dan menjadi punca pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis gotong-royong perdana KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) di Taman Seri Keramat, di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri ketika melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor mendedahkan lima kelemahan pentadbiran yang gagal ditangani Pakatan Harapan di Selangor sehingga membebankan rakyat di negeri itu.

Antara kelemahan tersebut adalah masalah bekalan air, gagal menguruskan sungai dengan baik sehingga membawa kepada peningkatan pe­nyakit berjangkit, harga rumah yang tinggi, cukai yang tinggi dan pengurusan sampah yang lemah.

Ironinya, hujah Mohamed Azmin yang seperti cacing kepanasan selepas pendedahan yang dilakukan oleh Najib seolah-olah menunjukkan beliau berbangga menjadi ‘juara’ kes denggi me­ngalahkan negeri-negeri lain.

Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan Selangor mencatatkan 39,158 kes denggi sejak Januari sehingga awal Oktober, daripada 71,892 kes yang dicatatkan di seluruh negara pada tahun lalu.