NORHIZAN ISMAIL
NORHIZAN

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, terdapat dua kes kematian denggi yang dilaporkan sehingga 19 Mei itu melibatkan seorang lelaki berumur 61 tahun di Kubang Pasu dan seorang lelaki berumur 76 tahun di Kota Setar.

"Kedua-dua kes mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Pesakit mengalami komplikasi jantung dan kegagalan fungsi organ lain disebabkan demam denggi yang teruk," katanya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat satu lokaliti wabak aktif ketika ini di daerah Kota Setar iaitu di Pasar Besar, Alor Setar dengan kumulatif tujuh kes.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar komited dalam menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk mengekang wabak ini kerana Pasar Besar merupakan tempat tumpuan orang ramai dan terdapat Bazar Ramadan di hadapan Pasar Besar berkenaan yang menjadi kunjungan ramai orang membeli juadah berbuka pada waktu petang dan senja.

"Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan dan penguatkuasaan dijalankan di kawasan Pasar Besar untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Sepanjang aktiviti ini dilakukan, sebanyak 19 premis positif pembiakan Aedes ditemukan dan 14 kompaun dikeluarkan kepada premis yang positif," katanya.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar juga bekerjasama dengan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar, pihak pengurusan Pasar Besar dan Pasar Raya Billion untuk melakukan gotong royong serta menyelesaikan masalah longkang yang tersumbat di kawasan itu.

Tambahnya, berdasarkan situasi semasa, secara kumulatif daripada Januari sehingga 19 Mei, sejumlah 578 kes demam denggi dicatatkan di seluruh ini 629 kes dalam tempoh yang sama pada 2017 iaitu penurunan sebanyak 51 kes atau 8.1 peratus. - UTUSAN ONLINE