Pengarah Hospital Machang, Dr. Rohana Daud berkata, pink code merupakan latihan kehilangan bayi pertama kali diadakan di hospital tersebut dan mengambil masa selama setengah jam bermula pukul 12.30 tengah hari ini.


“Pihak kami juga telah memaklumkan mengenai latihan ini kepada Ketua Jabatan Daerah Machang dan mendapat kerjasama daripada pihak polis serta ibu kepada bayi yang kononnya diculik tersebut. 


“Suasana mungkin menjadi panik apabila kami membuat pengumuman mengenai kehilangan bayi dan menutup semua pintu utama bagi melakukan pemeriksaan kepada orang awam dan kakitangan,” katanya hari ini.


Menurut Dr. Rohana, tujuan utama latihan dijalankan adalah bagi memastikan semua kakitangan dan pegawal keselamatan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama penculikan bayi. 


Satu mesej tersebar menerusi WhatsApp hari ini mengenai khabar seorang bayi dalam wad bersalin Hospital Machang diculik sekali gus menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai. - UTUSAN ONLINE