Tiada kelibat pun kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, mahupun Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an yang menerima ke­terangan Dr. Mahathir hari ini tidak menyaksikan keriuhan daripada penyokong-penyokong pembangkang.

Yang hadir memberi sokongan pun adalah orang daripada parti Dr. Mahathir sendiri iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sebilangan kecil ahli parti itu.

Dr. Mahathir bukan hanya Pengerusi PPBM, beliau adalah Pengerusi Pakatan Harapan, tetapi dalam hal membabitkan kerugian BNM semasa era pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, mungkin rakan-rakan sekutu pembangkangnya lebih mengetahui dan memilih berdiam diri.

Umum mengetahui, Kit Siang merupakan pengkritik paling lantang terhadap Dr. Mahathir semasa kerugian BNM dalam perdagangan mata wang asing mula terdedah pada awal tahun 1990-an.

Dan sudah semestinya Kit Siang sepatutnya paling bergembira kerana hasratnya yang di­sebutkan dalam sidang Parlimen pada tahun 1994 telah tercapai dengan penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian itu direalisasikan.

Begitupun, di mana Kit Siang ketika ini tatkala Dr. Mahathir perlu menjawab mengenai segala persoalan akibat kerugian BNM berkenaan.

“Pertama sekali Suruhanjaya Siasatan Diraja harus menentukan jumlah sebenar kerugian tukaran asing yang dialami BNM sejak 1992. Saya telah berkata bahawa untuk kedua-dua tahun 1992 dan 1993, kerugian tukaran asing BNM boleh jadi adalah dalam lingkungan RM16.5 bilion sehingga RM25.6 bilion.”

Kata-kata itu keluar daripada mulut Kit Siang sendiri yang dirakam dalam penyata rasmi sidang Dewan Rakyat pada tarikh 11 April 1994.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam prosi­ding RCI, jumlah kerugian sebenar BNM dalam perdagangan mata wang asing tahun 1990-an adalah lebih RM32 bilion. Tidakkah Kit Siang berminat mengetahui bagaimana kerugian itu berlaku?

Atau adakah apabila sudah menjalinkan persahabatan politik, segala dosa lalu dilupakan dan segala kerugian besar yang dialami negara tidak lagi perlu dipedulikan.