Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan bermula sejak hari kejadian sebelum pegawai penyiasat mengesan wujudnya unsur jenayah dalam kejadian tragis itu.

Menurutnya, penyiasatan dilakukan merangkumi keterangan saksi, mangsa terselamat, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Forensik Polis.

“Siasatan masih dijalankan susulan penahanan tujuh suspek dan kita masih dalam usaha mengumpulkan lebih banyak bukti. Keterangan suspek turut diambil kira untuk pengesahan,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, beberapa maklumat perlu diperbaharui selain keperluan kembali ke lokasi kejadian berdasarkan petunjuk terbaru.

“Semalam, pasukan forensik polis kembali ke lokasi kejadian dengan beberapa unit dron bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Susulan itu, tujuh suspek berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE