Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis menahan Musa pada pukul 10 pagi semalam, namun gagal mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Peta­ling Jaya dekat sini untuk menahan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu.

“Musa dibebaskan dengan jaminan polis semalam. Polis memberi jaminan bahawa siasatan terhadap beliau dijalankan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Musa kini menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Selangor sebaik tiba di negara ini pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu.

Beliau sebelum ini turut menjalani rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom (UK) dan meneruskan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura berkaitan pembedahan pintasan jantung sebelum pulang ke Malaysia.

Dalam pada itu seorang kenalan Musa yang enggan dikenali berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sibuga itu masih mendapatkan rawatan di hospital swasta tersebut.

Katanya, dia melawat Musa di hospital tersebut namun enggan mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan pemimpin itu.

“Saya baru turun dan ketika saya datang, dia sedang tidur dan belum dapat apa-apa maklumat mengenai tahap kesihatannya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.