MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN

Berikutan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan orang ramai khususnya pihak-pihak tertentu di luar sana supaya tidak terlalu bersentimen tinggi, beremosi dan jumud de­ngan kerjasama strategik itu.

Beliau yang mempunyai pe­ngalaman luas dan pernah berkecimpung lama dalam industri automotif menegaskan tiada bezanya di antara kerjasama Proton-Gelly dengan Proton-Mitsubishi suatu ketika dulu.

“Yang baiknya, kerjasama ini boleh menyara 60,000 pekerja secara langsung atau tidak, adakah kita mahu lihat mereka ini terkesan. Hanya kerana ego kita kononnya tidak mahu orang ambil, kongsi Proton, yang akhirnya mengakibatkan 60,000 pekerja ini kehilangan pendapatan, punca pencarian mereka.

“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya tengok daripada sudut pandangan perniagaan kerana saya takut Proton tutup kedai,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di akaun Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan dan rintihan pihak tertentu kononnya kerjasama tersebut menjadi penanda ‘kematian’ jenama kenderaan nasional itu selepas syarikat dari China tersebut membeli 49.9 peratus kepenti­ngan dalam Proton.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan, kerjasama itu adalah suatu urus niaga yang baik memandangkan Geely merupakan syarikat besar yang mengeluarkan berjuta kereta setahun di China dengan pelbagai model.

“Ini satu peluang kepada Proton untuk mempunyai banyak model sebab Proton tiada model baharu. Mana ada syarikat keluar model setiap 10 tahun, Mercedes-Benz pun setiap tiga tahun,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz menggesa pemilik Kumpulan DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom), Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mendedahkan identiti sebenar pemilik jenama kenderaan itu serta proksinya.