Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, Proton merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan lengkap yang mempunyai keupayaan rekabentuk, ujian, pembuatan, pemasangan, penjualan dan lepas jualan di bawah satu payung.

“Pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Proton ini merupakan aset yang akan dimaksimumkan oleh syarikat perkongsian Proton-Geely dan ini akan menjana pekerjaan bernilai tinggi yang baharu bagi tujuan untuk menjadikan hab penyelidikan di ASEAN dan juga hab pasaran ‘Right Hand Drive’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai DRB-Hicom mencapai persetujuan dengan Geely bagi membolehkan syarikat tersebut membeli 49.9 peratus saham Proton.

Kedua-dua syarikat tersebut menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Khamis lalu.


Mohamad Madani menambah, kilang Proton di Tanjung Malim yang mempunyai infrastruktur moden bagi pembuatan kereta terbaharu juga dapat digunakan secara maksimum oleh syarikat perkongsian Proton-Geely bagi memenuhi sasaran pengeluaran 500,000 unit di masa hadapan.

“Jelas DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) masih lagi pemegang saham majoriti dalam perkongsian Proton-Geely sebanyak 50.1 peratus, kerajaan akan tetap meneruskan sokongannya kepada Proton kerana industri ini amat strategik dalam proses industrialisasi di negara ini.

Perkongsian strategik kedua-dua syarikat itu katanya, merupakan satu titik permulaan bagi Proton dan satu langkah yang bertepatan.

“Dengan perkongsian ini, Geely dijangka membawa teknologi baharu serta suntikan modal ke dalam operasi Proton. Proton selama ini telah membuka peluang dalam mengadakan ekosistem pekerjaan dan perniagaan automotif yang luas di Malaysia.

“Sejumlah 10,000 pekerjaan dalam Proton dan 350 syarikat vendor yang merangkumi 50,000 pekerjaan secara langsung, telah diwujudkan ketika ini,” katanya. 


Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad yang mempunyai pandangan yang sama berkata, kerjasama itu bakal memberi suntikan baharu kepada industri automotif negara di masa akan datang.

Katanya, kepakaran teknologi Volvo yang dimiliki Geely bukan sahaja mampu menambah baik teknologi pembuatan model-model baharu Proton malah ia merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada Proton yang berdepan dengan masalah kewangan.

Aishah menambah, Geely sebagai peserta automotif terbaik di China dan antara yang terbaik di dunia, akan membantu Proton menjadi jenama nombor satu di Malaysia, ASEAN dan juga China.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Geely juga bakal mengurangkan komitmen untuk penyelidikan dan pembangunan.

“Dengan ini Proton mampu meningkatkan nilai jenama serta keyakinan pengguna, akses kepada teknologi terkini, mencapai skala ekonomi lebih tinggi serta keupayaan untuk menembusi pasaran lebih besar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE