Titah baginda, antara langkah kerjasama yang perlu dipertingkatkan adalah dengan mengambil peluang melalui perniagaan di atas talian iaitu kaedah masa kini yang boleh menjangkau sehingga ke peringkat global.

“Selain daripada itu, pelbagai peluang lain seperti program, inisiatif dan kemudahan yang ditawarkan oleh agensi-agensi pembangunan usahawan di kedua-dua buah negara haruslah diterokai sebaik mungkin bagi memberikan pulangan yang maksimum,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Nurul Hidayah, Koh Lanta, Thailand, semalam.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada imam masjid tersebut, Amanah Idris yang bertujuan untuk kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan di masjid berkenaan.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail; Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, usahawan di Perlis juga tidak harus melepaskan peluang bagi memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan seperti dalam program e-rezeki’ dan e-usahawan oleh Malaysia Development Digital Economy Corporation (MDEC). - UTUSAN ONLINE